TAWAU Johan Keseluruhan Jubli Emas Temasya Sukan Olahraga MSS Sabah 2018

KOTA KINABALU, 24 Mac :- Dengan bekalan 19 pingat emas, 10 pingat perak dan 2 pingat gangsa sudah memadai bagi kontinjen Tawau merangkul Johan Keseluruhan Jubli Emas Temasya Sukan Olahraga MSS Sabah 2018 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu bermula 21 Mac sehingga 24 Mac 2018.

Bermula dengan agak perlahan pada saingan hari pertama, Kontinjen Tawau menunjukkan taring sebenar apabila mengejar rapat Kontinjen Keningau pada penutup hari kedua saingan. Kontinjen Tawau semakin menyengat di hari ketiga dan pada hari penutup saingan Kontijen Tawau berjaya meninggalkan pesaing terdekat dengan perbezaan 7 pingat emas.

Bagi Olahragawan dan Olahragawati pula, 3 kategori diungguli oleh atlet dari kontinjen Tawau manakala selebihnya 1 dari kontinjen Kota Marudu, Kudat dan Ranau.

 

Olahragawati Kategori Perempuan 12 tahun ke bawah dimenangi oleh adik Nur Amirah Qistina binti Daim dari kontinjen Tawau dengan memecahkan rekod kejohanan acara 80M Lari Berpagar sekaligus memadamkan rekod lama 2017 dengan catatan masa 13.47 saat.

 

Olahragawan Kategori Lelaki 12 tahun ke bawah dimenangi oleh adik Amirul bin M. Yusuf dari kontinjen Tawau dengan memecahkan rekod kejohanan acara 80M Lari Berpagar yang dengan catatan 11.53 saat memadamkan rekod yang dicipta pada 2017.

 

Olahragawati Kategori Perempuan 15 tahun ke bawah disandang oleh adik Halimatul Saadiah binti Mohammed Raja dari Kontinjen Tawau. 2 rekod baharu telah dicipta oleh beliau iaitu 100M lari berpagar dan 200M lari berpagar dengan masing-masing dengan catatan 14.77 saat dan 28.05 saat.

 

Olahragawan Kategori Lelaki 15 tahun kebawah disandang oleh adik Mohamad Azri Pirasa dari dari Kontinjen Kudat. Dengan memenangi 2 pingat emas dan memecahkan kedua-dua acara ini dengan rekod baharu kejohanan. Mohammad Azri memenangi emas acara 400M dengan catatan 52.68 saat dan acara 800M dengan catatan 2:11.24s.

 

Olahragawati Kategori Perempuan 18 tahun kebawah disandang oleh adik Chlestie Ann Jalisa dari Kontinjen Kota Marudu setelah memenangi 2 pingat emas, 1 pingat perak dan memperbaharui 1 rekod baharu kejohanan. Rekod baharu yang dicipta dalam acara 2000M lari berhalangan dengan catatan 8:29.95s memadamkan rekod yang dicipta pada tahun 2017 iaitu 8:46.02s. Selain itu, Chlestie Ann telah memenangi pingat emas dalam acara 800M dan pingat perak dalam acara 1500M.

 

Olahragawan Kategori Lelaki 18 tahun kebawah disandang oleh adik Alvin Roland dari MSS Ranau. Alvin Roland telah mencipta 1 rekod baharu kejohanan dalam acara Lompat Kijang dengan jarak lompatan sejauh 14.99m mengatasi rekod lama sejauh 14.95m yang dicipta pada tahun 2010.